5 MAC 2025M | 4 RAMADAN 1446H (RABU) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah (BPD) dan Bahagian Pengurusan Masjid (BPM) telah mengadakan Program Ziarah Ramah Siri 1 tahun 2025M/1446H sempena Bulan Ramadan al-Mubarak. Program berbentuk dakwah bil hal ini adalah merupakan salah satu program strategik JAWI melalui kolaborasi strategik bersama institusi masjid dan juga hospital dalam merealisasikan program Hospital Mesra Ibadah (HMI).
Program menyantuni para pesakit melalui bacaan doa, penyampaian sumbangan barangan keperluan diri dan sumbangan wang tunai serta bertanya khabar dan kata-kata semangat kepada para pesakit. Mengambil pengajaran daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” (Riwayat Muslim).
Program ziarah kali ini diketuai sendiri oleh Pengarah JAWI, YBrs. Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan diiringi YBrs. Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI. Turut bersama pada ziarah kali ini adalah YBrs. Dr. Shamsul Anuar bin Kamarudin, Pengerusi Masjid Az-Zahrawi HKL, YBrs. Encik Kamalazira bin Pauzi, Timbalan Pengarah (Pengurusan), HKL serta YBrs. Puan Imlah binti Abd Aziz, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI.
Seramai 50 orang pesakit yang telah disantuni dan menerima sumbangan tersebut. Semoga dengan aktiviti dakwah ke lapangan seumpama ini dapat memberi sokongan moral dan meringankan bebanan kepada para pesakit. JAWI merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak masjid dan HKL. Semoga kolaborasi strategik antara JAWI, Masjid Az-Zahrawi dan HKL akan berterusan dalam menyuburkan Islam di Wilayah Persekutuan.
Bahagian Pengurusan Dakwah, JAWI
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan